Wednesday 27 October 2010

Wanita & Haid




Haid adalah suatu keadaan fisiologi yang tetap dan teratur. Ia dialami oleh wanita yang berada dalam lingkungan umur yang berupaya untuk mengandung. Semasa kedatangan haid, seseorang wanita akan kehilangan darah. Tempoh reproduktif seseorang wanita dicirikan dengan perubahan ritmik pada rembesan hormon yang diperlukan untuk pembiakan. Corak ritmik ini dikenali sebagai kitaran seksual wanita atau kitaran haid.

Fungsi kitaran haid ialah menghasilkan telur (ovum) yang matang daripada ovari dan menyediakan lapisan dalam rahim untuk implantasi embrio. Jika tidak berlaku persenyawaan, telur akan mengalami degenerasi dan dibuang bersama bahan-bahan lain yang keluar daripada tubuh wanita melalui saluran vagina.

Proses haid akan membuang keluar darah, mukus/lendiran dan sel-sel yang sudah mati. Proses ini berlaku dalam tempoh yang agak tetap daripada masa akil baligh sehinggalah menopaus (putus haid) kecuali semasa mengandung dan penyusuan. Proses haid bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadangkala seawal umur 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun. Permulaan haid banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan status nutrisi serta pemakanan. Putus haid berlaku pada purata umur 47 tahun (julat umur antara 45 hingga 55 tahun). Purata tempoh kitaran haid bagi wanita yang normal ialah 28 hari. Hari pertama haid dianggap sebagai hari pertama bagi setiap kitaran baru. Setiap kitaran bagi seorang wanita yang normal dan sihat ialah di antara 20 hingga 45 hari. Perbezaan tempoh kitaran bergantung kepada umur. Tempoh aliran keluar haid juga berbeza-beza.

Purata kitaran haid di kalangan gadis ialah 6.6 hari manakala pada umur 21 tahun, purata tempoh haid menjadi enam hari sehinggalah mencapai tahap putus haid. Lebih kurang lima peratus wanita yang sihat datang haid kurang daripada empat hari dan lima peratus lagi wanita yang mengalami lebih daripada lapan hari. Jumlah purata darah dan tisu yang hilang semasa kedatangan haid ialah 70 ml. Wanita yang berumur kurang daripada 35 tahun akan kehilangan darah lebih banyak berbanding wanita yang berumur 35 tahun ke atas.

Jumlah keseluruhan cecair badan yang hilang semasa haid ialah di antara 60 hingga 200 ml.

Sesetengah wanita akan mengalami simtom atau gejala yang tidak selesa dalam tempoh haid tersebut. Di dalam tempoh tersebut wanita akan mengalami masalah seperti sakit kepala, pengumpulan cecair, ketegangan payu dara, mudah meradang, keresahan, sakit tulang belakang, kesakitan dan kekejangan pada bahagian abdomen serta tekanan perasaan.

Kehadiran dan keterukan gejala ini berbeza-beza di kalangan wanita. Masalah ini boleh dibantu oleh ahli farmasi atau diurus sendiri oleh wanita tersebut. Mereka yang mengalami masalah tersebut yang berkunjung ke kedai farmasi akan ditemubual untuk memastikan keterukan masalah dan sama ada wanita berkenaan harus mendapatkan pemerhatian doktor. Temubual ini juga dapat membantu ahli farmasi untuk menilai masalah pesakit dan memilih atau menyarankan produk atau ubat yang sesuai dan berkesan bagi mengatasi masalah tersebut.

Abnormal semasa haid dan cara mengatasi

Tidak semua wanita yang akan mengalami kedatangan haid tanpa masalah. Adalah dianggarkan seramai 10 peratus wanita mempunyai masalah sakit puan yang kronik. Sesetengah wanita mempunyai masalah seperti berikut:

1. Dismenorea

Merupakan satu keadaan di mana wanita mengalami kesakitan dan kekejangan yang teruk semasa haid. Dianggarkan sebanyak 50% wanita mengalami masalah ini dengan gejala kekejangan yang berlaku pada awal kedatangan haid dan hilang selepas satu hingga dua hari tanpa menjejaskan aktiviti harian. Sebanyak 10% wanita dikatakan mengalami sakit kekejangan yang teruk pada bahagian bawah abdomen dan kerap kali disertai gejala sistematik seperti mual, muntah, cirit-birit, sakit kepala dan kepeningan. Ia juga kerap berlaku di awal tempoh haid. Masalah dismenorea boleh dikelaskan kepada primer atau skunder. Dismenorea primer berlaku kerana pengecutan otot rahim dan akan disebabkan oleh masalah penyakit tertentu. Sebaliknya, dismenorea sekunder berlaku disebabkan masalah tertentu seperti endometriosis, fibroids (ketumbuhan otot-otot pada bahagian rahim) atau penyakit inflamasi pelvik.
Sebelum menyarankan kaedah rawatan, ahli farmasi atau doktor harus mengenalpasti masa bermulanya sakit berhubung dengan haid tersebut. Sakit akibat dismenorea primer berlaku sebelum atau semasa dua hari pertama haid. Jika kesakitan berlanjutan dan menjadi lebih teruk, ia mungkin diakibatkan oleh masalah yang serius dan perlu dirujuk kepada doktor pakar.

2. Menoragia

Merupakan pendarahah yang banyak semasa haid. Ini berlaku pada sembilan peratus hingga 14% wanita dan boleh mengakibatkan beberapa masalah. Pembekuan darah biasa berlaku semasa pendarahan yang banyak tetapi ia tidak merbahaya. Wanita perlu berjumpa doktor jika pendarahan berlaku di antara tempoh haid atau semasa mengandung.

3. Amenorea

Merupakan masalah tidak datang haid (primer) atau kurang alami haid (sekunder). Sesetengah wanita tidak datang haid melebihi tempoh tiga bulan. Amenorea primer selalunya dikaitkan dengan kegagalan berlaku haid sebelum 18 tahun dan dikaitkan dengan disfungsi kromosomal, pituitari atau ovarian. Pesakit yang mengalami amenorea primer dan sekunder perlu dirujuk kepada doktor. Amenorea sekunder biasanya disebabkan oleh mengandung, penyusuan, menopaus dan pemberhentian pil kontraseptik. Sebab-sebab lain ialah gangguan bahagian hipotalamus (bahagian otak), kelenjara pituitari, kelenjar adrenal, ovari dan uterus.

4. Pendarahan dan kesakitan semasa tempoh antara haid

Berlaku di pertengahan kitar haid dan boleh berlaku selama beberapa jam sehingga beberapa hari. Kesakitan ini boleh disertai dengan pendarahan. Terdapat hubungan di antara kesakitan interhaid, pendarahan dan ovulasi. Ramai wanita yang mengalami pendarahan dan kesakitan yang singkat di antara kitaran haid. Ketidakselesaan ini biasanya disebabkan oleh ovulasi. Jika masalah in berlanjutan dan menjadi teruk (melebihi dua hari), wanita tersebut perlu dirujuk kepada doktor.

5. Sindrom prahaid

Ramai wanita yang mengalami gejala berulang-ulang yang kompleks. Ini dikenali sebagai Sindrom Prahaid. Biasanya gejala ini membabitkan rasa mual selama dua atau tiga hari sebelum kedatangan haid atau di akhir-ahir tempoh haid. Ia disebabkan oleh naik turun paras hormon. Masa bermula gejala berbeza di kalangan wanita tetapi ia adalah konsisten bagi setiap wanita. Kebiasaannya, gejala ini disebabkan oleh gabungan keadaan fisiologi. Psikologi dan faktor budaya. Di antara gejala yang sering dialami ialah:

Psikologikal - emosi menjadi terlalu sensitif, meradang, lesu, tertekan, keresahan dan gangguan tidur.

Neurologik - sakit kepala (migrain), pening, pitam, sawan

Payu dara - ketegangan, bengkak

Saluran gastrousus - sembelit, kembung perut, kekejangan pada bahagian abdomen, ketagihan gula-gula

Kaki dan tangan - bengkak dan berair (edema)

Kurang kencing

Kulit berjerawat


Kenalpasti Sindrom

Kebanyakan wanita yang menggunakan produk farmaseutikal atau ubat tanpa nasihat doktor dan dengan kata lain mengamalkan swa-pengubatan adalah wanita-wanita yang sihat dan mengalami gejala-gejala sindrom prahaid seperti sakit kepala, pengumpulan cecair atau kekejangan pada bahagian abdomen. Produk atau ubat yang berkaitan dengan masalah tersebut boleh didapati di kedai farmasi dengan nasihat ahli farmasi. Adalah penting untuk mendapatkan ubat yang biasa diambil tanpa memberikan kesan samping serta mujarab. Namun, ahli farmasi mesti mengenalpasti gejala yang dialami semasa kitaran haid yang lalu dan bukannya gejala akibat penyakit yang lebih serius dan memerlukan permerhatian doktor pakar sakit puan (obstretrik dan ginaekologi).

Wanita harus berwaspada terhadap gejala yang boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit yang lebih serius dan memerlukan rawatan segera. Di antara masalah yang memerlukan pemerhatian doktor pakar dengan segera ialah pendarahan yang teruk, tidak datang haid, discaj yang tidak normal daripada bahagian vagina, kesakitan yang amat sangat sebelum dan semasa haid, kesakitan ketika melakukan hubungan seksual, ketumbuhan pada bahagian payu dara atau dicaj yang tidak normal daripada bahagian puting payu dara.

Kaedah rawatan


Jenis dan keberkesanan rawatan bagi masalah di atas bergantung kepada kumpulan gejala atau simtom yang dialami oleh wanita:

Sakit - kekejangan otot, sakit kepala, sakit payu dara, sakit belakang dan lesu.

Pengumpulan cecair - kenaikan berat badan, masalah kulit, sakit payu dara dan pembengkakan.

Kesan psikologi - sedih, kesepian, keresahan, tidak selesa, mudah meradang, murung, tertekan.

Ubat-ubat yang ingin dipreskripsi haruslah bergantung kepada kumpulan gejala di atas serta mengenalpasti tahap gangguan haid yang telah diterangkan seperti di atas.

Di antara ubat dan kaedah rawatan yang boleh digunakan ialah:

Ubat penahan atau menghilangkan rasa sakit

NSAIDs - ubat anti-inflamasi bukan steroid seperti aspirin, ibuprofen, asid mefenamik - berkesan untuk mengurangkan pendarahan dan kekejangan. Ia patut diambil tujuh atau sepuluh hari sebelum datang haid untuk mendapatkan kesan yang maksimum.

Asetaminofen - Kajian menunjukkan ia boleh mengurangkan paras fonadotrofin dan estradiol

Hormon

Pil kontraseptif - Ia menghalang penghasilan hormon lelaki dan merencat reseptor estrogen dalam uterus wanita. Ia kerap digunakan untuk mengawalatur tempoh haid termasuk masalah dismenorea, amenorea dan menoragia.

Progesteron dalam bentuk sintetik - Progestin, contoh, medroksiprogesteron, noretindron, norgestrel, digunakan untuk masalah menoragia dan mengembalikan masalah haid (seperti tempoh haid yang tidak tetap) kepada normal.

Analog GnRH (suntikan agen hormon)
Mengurangkan paras hormon estrogen

Kaedah tanpa drug seperti cara pemakanan yang sihat, senaman, teknik mengurangkan tekanan, kebersihan (penggunaan tuala wanita) dan sokongan sosial.

P/S : Maklumat paling bergunakan?... MySpace

2 comments:

Unknown on 25 November 2010 at 23:16 said... Best Blogger Tips[Reply to comment]Best Blogger Templates

Dr. Lenny..hehe..maklumat ni berguna ba..haha

LennMommaChubby on 26 November 2010 at 08:49 said... Best Blogger Tips[Reply to comment]Best Blogger Templates

Pandailah u panggil aku Dr....
Rujuk buku saja ni... Ngee... Tapi memang bergunalah...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

~* MaRkETinG

 

Copyright © 2008 Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez | Blog Templates created by Web Hosting Men